PENGENALAN
Demam pilihanraya ke-12 masih terasa bahangnya. Perbincangan mengenai keputusan pilihanraya dengan mengambil kira senario “Yang selalu menang, akhirnya kecundang dan yang tak pernah menang, tiba-tiba menang” menjadikan suasana politik di Malaysia semakin menarik. Parti Barisan Nasional telah mengalami kehilangan beberapa buah kerusi di Parlimen dan lima buah negeri telah jatuh ke tangan Barisan Alternatif. Barisan Nasional seolah-olah hilang punca dalam bersemuka situasi ini setelah 50 tahun memerintah Negara Malaysia . Parti MIC hanya memenangi tiga buah kerusi di Parlimen, Parti MCA telah mengalami kekalahan yang mengejutkan dan Gerakan tumbang di Pulau Pinang . UMNO yang dikatakan sebagai tunjang kepada bangsa Melayu pula telah hilang kuasa di Perak dan Selangor. Persoalannya, bagaimanakah situasi politik di Malaysia selepas ini? Apakah hala tuju Politik Malaysia sebenarnya?
Rentetan suasana politik di Malaysia, Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (Jaksa), Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku sebuah organisasi pemimpin pelajar telah berhasrat untuk turut serta dalam membincangkan senario politik di Malaysia. Justeru, Jaksa mengambil inisiatif untuk menganjurkan Seminar Kebangsaan Kolej Ungku Omar 1 (SKUOM 1). Walaupun sebelum ini banyak pihak atau pertubuhan di Malaysia telah mengambil usaha menganjurkan forum dan konvensyen berkaitan dengan masa depan politik Malaysia pasca pilihanraya ke-12, namun tidak ada pihak yang membuka ruang bagi pembentangan kertas-kertas kerja bertulis melalui forum atau persidangan yang dianjurkan. Maka Jaksa KUO, UKM ingin berusaha untuk mengumpul kertas-kertas kerja melalui SKUOM 1.
OBJEKTIF
- Memberi peluang kepada mahasiswa/i UKM untukturut serta dalam membincangkan pilitik Malaysia .
- Memberi pendedahan kepada mahasiswa/i tentang dunia politik sebenar dan hala tuju politik Malaysia .
- Meningkatkan imej universiti di mata masyarakat dan membuktikan keupayaan mahasiswa/i dalam menganjurkan program bertaraf nasional.
- Mewujudkan kerjasama multi hala antara semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
- Sebagai satu mekanisme kepada mahasiwa/i untuk lebih mengenali dan mendekati budaya, ilmu dan idea masyarakat secara holistik tentang politik Malaysia.

